LAFAZ YANG TELAH DILUPAKAN SELEPAS AKAD NIKAH
Lafaz merupakan
suatu kata-kata yang diucapkan oleh seseorang bagi menyampaikan maksud yang
hendak dikatakan. Dalam perkahwinan, lafaz memainkan peranan penting bagi
menjayakan acara akad nikah dan juga memberikan kesan dalam hati atas apa yang
diucapkan. Masa kini yakni zaman serba moden, lafaz-lafaz akujanji dan
pengakuan makin ditinggalkan serta tidak dipedulikan. Lalu ia tidak memberikan
kesan dan impak dalam hati seseorang yang berkahwin. Mari kita lihat dan baca
antara lafaz yang baik untuk suatu majlis akad nikah.
1. LAFAZ PENYERAHAN
MAS KAHWIN (DIBACA OLEH PENGANTIN LELAKI SELEPAS SELESAI AKAD NIKAH)
Pengantin lelaki
menyerahkan mas kahwin kepada pengantin perempuan dengan membaca:
“Adalah saya (nama
pengantin lelaki) suami kepada (nama pengantin perempuan) yang telah menerima
tanggungjawab, dengan ini menyerahkan kepada isteriku mas kahwin (nilai mas
kahwin) tunai. Oleh itu isteriku hendaklah dikau menunjukkan taat setia kepada
diriku sebagai suami dan mengikut segala perintah dan nasihatku selagimana
ianya tidak bercanggah dengan hukum Islam..”
Kemudian dikehendaki
suami memegang ubun-ubun isteri dengan tangan kanan lalu membaca ‘Basmalah’ dan
doa berikut:
“Ya Allah, aku
bermohon kepadamu kebaikannya dan kebaikan yang Engkau ciptakan padanya dan aku
berlindung padaMu daripada keburukannya dan keburukan yang Engkau ciptakan
padanya.”
2. LAFAZ PENERIMAAN
MAS KAHWIN (DIBACA OLEH PENGANTIN PEREMPUAN)
Setelah selesai
penyerahan tersebut isteri hendaklah mencium tangan suami dengan berdoa di
dalam hati:
“Ya Allah,
jadikanlah suamiku ini suami yang soleh dan pembimbing yang baik di dunia dan
akhirat..”
Kemudian barulah
isteri membaca lafaz penerimaan mas kahwin:
“Adalah saya (nama
pengantin perempuan), isteri kepada (nama pengantin lelaki) dengan penuh
kesyukuran menerima mas kahwin ini sebagai tanda ikatan murni dan suci. Saya
akan menumpukan sepenuh perhatian dan taat setia yang tidak berbelah bagi
kepada suamiku dan mengharapkan agar suamiku sentiasa memberi bimbingan dan
nasihat serta tunjuk ajar demi kepentingan dan kebahagiaan bersama. Semoga
perkahwinan ini mendapat restu dan redha dari Allah s.w.t..”
3. PENYERAHAN
TANGGUNGJAWAB WALI KEPADA PENGANTIN LELAKI (DIBACA OLEH WALI KEPADA PENGANTIN
PEREMPUAN)
Dilakukan oleh wali
perempuan atau wakilnya dan disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak.
Lafaz penyerahan tanggungjawab adalah seperti berikut :
“Adalah saya (nama
wali pengantin perempuan), wali kepada nama pengantin perempuan dari saat ini
menyerahkan tanggungjawab nafkah, perlindungan, keselamatan, kasih sayang dan
tanggungjawab agama Islam kepada kamu (nama pengantin lelaki) sebagai suami yang
sah. Semoga diberkati oleh Allah s.w.t ke atas kamu dan orang yang di bawah
tanggungan kamu serta zuriat keturunan kamu. Amin..”
4. PESANAN IBU
KEPADA ANAK PEREMPUAN (DIBACA OLEH IBU KEPADA PENGANTIN PEREMPUAN)
“Anakku (nama
pengantin perempuan), hari ini kamu akan berpindah dari naungan dan
perlindungan ayah ibu ke suatu alam yang baru di bawah naungan suamimu. Ayah
ibu telah mendidik dan mengasuhmu sebaik mungkin untuk menjadikan dirimu
seorang anak yang solehah. Hari ini ayah ibu mengharapkan kepadamu untuk
melaksanakan segala tunjuk ajar dan nasihat ayah ibu selama ini. Jadikanlah
dirimu seorang isteri yang solehah nescaya suamimu akan menjadi teman yang
mesra kepadamu. Berikanlah khidmat dan ketaatanmu kepadanya dengan jujur dan
ikhlas. Hendaklah kamu menjaga perkataanmu dan budi pekertimu serta tingkahlaku
terhadapnya. Jagalah maruah dirimu dan jagalah maruah keluargamu. Taatilah
Allah sepanjang hidupmu, semoga Allah memberikan ketabahan, keafiatan, ketenangan
dan kebahagiaan kepada kamu. Ayah ibu memohon kemaafan di atas segala kesilapan
dan kesalahan semasa mendidikmu..”
5. TERIMA KASIH DARI
ANAK (DIBACA OLEH PENGANTIN PEREMPUAN)
“Wahai ibu ayah,
budi dan jasamu selama ini tidak dapat saya balas. Hari ini saya akan berpindah
dari naungan dan perlindungan ibu ayah ke suatu alam baru yang belum saya tahu.
Saya memohon doa restu ibu ayah agar saya dapat menghadapi segala cabaran rumahtangga
dengan sabar dan redha. Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak
terhingga di atas segala bimbingan, nasihat serta kasih sayang yang tidak
ternilai. Saya memohon ampun maaf di atas segala kesilapan dan kesalahan saya
selama berada bersama ibu ayah. Terima kasih ibu ayah..”
Kemudian salam dan
cium tangan ibu ayah.
6. LAFAZ PENERIMAAN
TANGGUNGJAWAB (DIBACA OLEH PENGANTIN LELAKI)
“Dengan ini saya
(nama pengantin lelaki), suami yang sah kepada (nama pengantin perempuan)
bersyukur kepada Allah di atas anugerah nikmat Iman, Islam, kesihatan dan
isteri serta berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan
majlis akad nikah ini. Oleh itu, mulai saat ini saya menerima tanggungjawab
sebagai suami kepada isteri saya (nama pengantin perempuan) dan akan berusaha
dengan sebaik-baiknya untuk menjalankan tugas sebagai suami seperti berikut :
1. Memberi nafkah
zahir dan batin.
2. Penjagaan dan
perlindungan yang sempurna.
3. Keselamatan yang
terjamin.
4. Memberi bimbingan
dan panduan ke jalan yang diredhai Allah.
Saya mengharapkan
doa restu dari semua pihak terutama ibu bapa tersayang dan ibu bapa mertua
saya. Semoga perkahwinan ini mendapat restu dan redha Allah..”
Moga pasangan yang
akan bernikah selepas ini dapat mengamalkan lafaz-lafaz di atas agar ia
memberikan kesan atas setiap individu yang berjanji akan tugas dan
tanggungjawab mereka di alam rumahtangga.